Timb Ketua Menteri Sarawak sahkan Taib jumpa Tun M


Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing mengesahkan bahawa Yang Dipertua Tun Taib Mahmud telah berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ya, Taib ada jumpa Dr Mahathir dan Daim di Kuala Lumpur," kata Masing seperti dipetik Malay Mail.
Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yanag mendakwa perjumpaan itu diadakan semalam.
Masing berkata beliau berjumpa dengan Taib di Kuala Lumpur selepas mesyuarat semalam namun enggan mendedahkan perkara yang dibincangkan.
Berhubung persoalan sama ada BN Sarawak akan meninggalkan BN, Masing berkata ia adalah sesuatu yang perlu diputuskan bersama.
"Jika kita perlu bertindak, sama ada kita putuskan untuk kekal dalam BN atau sertai Pakatan Harapan (HARAPAN), kita perlu lakukannya bersama.
"Kita tidak boleh bertindak sendirian. Kita tidak boleh berpecah. Kita mesti bersama untuk terus melindungi negeri kita," katanya.
Malaysiakini difahamkan bahawa Taib akan memanggil Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg untuk bermesyuarat.
Sementara itu, Abang Johari dikatakan akan mengadakan mesyuarat tergempar Rabu depan dengan anggota dewan undangan negeri dan anggota parlimen BN untuk membincangkan masa depan mereka dalam BN.
BN Sarawak terdiri daripada PBB, PRS, SUPP, dan PDP.
Pakatan itu berjaya mendapat 19 parlimen, 13 daripada PBB, tiga daripada PRS, dua daripada PDP dan satu kerusi daripada SUPP.
Sekiranya parti-parti itu keluar BN, itu bermakna BN hanya mempunyai 60 parlimen seluruh negara.
Sumber : Malaysia Kini

Comments