Khaled Nordin seru rakyat Johor sokong kerajaan negeri baru


Bekas menteri besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin hari ini menyampaikan penghargaan kepada rakyat Johor atas sokongan yang diterimanya sebelum ini.
Khaled yang gagal mempertahankan kerusinya di Pasir Gudang turut menyeru agar rakyat Johor memberi sokongan kepada kerajaan negeri yang baru.
"Terima kasih atas segala sokongan yang padu. Terima kasih atas komitmen yang berterusan. Dan terima kasih atas sumbangan dari semua pihak.
"Saya sangat menghargai sokongan baik dari semua pihak selama ini. Saya harap, sokongan yang sama, atau yang lebih baik lagi, akan turut diberikan kepada pasukan kerajaan negeri yang baharu.
"Tunjukkan komitmen serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi. Dan sokonglah sebarang usaha baik demi kepentingan dan kemajuan negeri Johor," katanya.
Khaled menambah bahawa sudah menjadi budaya dan amalan rakyat Johor untuk sentiasa menyokong serta membantu usaha yang membawa kebaikan kepada negeri Johor.
"Sekali lagi, saya dan seluruh pasukan BN Johor mengucapkan terima kasih atas segala sokongan dan dukungan yang diberikan oleh semua pihak sepanjang lima tahun lepas. Terima kasih," katanya.
Khaled mendapat 36,889 undi tewas di Pasir Gudang kepada calon PKR Hassan Abdul Karim yang mendapat 61,615 undi pada PRU ke-14.
Sumber : Malaysia Kini

Comments